KUALA SELANGOR, 7-8 FEB : Dalam menghadapi masalah
gejala sosial dalam kalangan remaja pada masa kini, satu inisiatif telah
diambil oleh YB Dr. Hajah Halimah Ali melalui jawatankuasa induk menangani
gejala sosial Selangor atau dikenali sebagai GEMS dengan mengadakan Karnival
Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) bersama
masyarakat di daerah Kuala Selangor. Karnival ini telah dihadiri Pegawai
Daerah, ketua-ketua kampung, serta
pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil belia. Program Jelajah ini akan
bergerak kesembilan daerah di dalam Negeri Selangor dan Kuala Selangor telah
terpilih menjadi daerah yang pertama.
Karnival ini diadakan bertujuan untuk
mendekati dan memahamkan masyarakat Kuala Selangor tentang tanggungjawab mereka
terhadap isu-isu gejala sosial serta mahu melahirkan ramai generasi idaman di
Negeri Selangor.
Pelbagai
aturcara menarik diatur antaranya Majlis Dialog “ MENGEHSANKAN INSAN DI NEGERI
SELANGOR DARUL EHSAN”, Forum INSAN EHSAN, Jom Kerja “Walk Interview”, sembang
santai “HIJRAH”.
Dalam satu Majlis Dialog, Dr Hajah Halimah Ali telah
berdialog dengan pimpinan masyarakat di peringkat daerah serta beberapa wakil
daripada jabatan dan agensi penguatkuasaan.
Antara initipati ucapan beliau, Dr Hajah Halimah Ali
telah menjelaskan hala tuju Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berpandukan
matlamat Selangor sebagai Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan.
Tegas beliau lagi, generasi muda hari ini adalah penentu kepada kesejahteraan
masyarakat pada masa akan datang apabila
terbentuknya elemen yang positif berdasarkan aspek spiritual, fizikal,
intelektual, emosi dan sosial seseorang.
Di samping program itu, pengunjung juga berpeluang
meninjau gerai jualan pakaian, juadah makanan dan agensi jabatan kerajaan.
Karnival itu juga dimeriahi dengan aktiviti ahli kelab motosikal Alternative
Riding Club (ARC) serta Riders Selangor Motor Race, Pertandingan Melukis Dan
Mewarna dan ‘Kuala Selangor Berselawat’